Abu Bakar akui tugas makin sukar

ABU Bakar (kiri) akui posisi
penyerang paling kritikal dan perlu diatasi segera. -Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
SELEPAS kehilangan beberapa
tonggak musim lalu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim terpaksa akui beliau
kini berdepan tugas sekali ganda lebih berat berbanding persiapan yang pernah
dilakukan sebelum ini.
Antara tonggak yang meninggalkan
kelab itu adalah pemenang Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan,
Shahrel Fikri Fauzi.
Untuk itu, Abu Bakar berkata dua
aksi persahabatan menentang PKNS FC dan Kelantan selepas ini bakal jadi
platform terbaik buatnya untuk meneliti kelemahan dan mendapatkan gambaran
kasar untuk membentuk skuad terbaik.
“Memanglah apabila kehilangan
beberapa pemain utama, saya dapat lihat ada satu ruang yang perlu diisi oleh
pemain lain.
“Selepas ini kami ada dua aksi
persahabatan pada 6 dan 10 Januari. Daripada situ saya akan nilai pemain
termasuk menguji pemain import.
“Dengan situasi sekarang, kerja
saya bertambah terutamanya untuk membina pasukan yang mampu bersaing bersama
pasukan hebat lain dalam saingan Liga Super,” katanya.
Sebelum ini, PKNP FC pernah
dilabel ‘Giant Killer’ kerana kemampuan mereka memberi kejutan kepada pasukan
lebih besar.
Walaupun berdepan tugas lebih
kerat, Abu Bakar tidak melihat ia sebagai beban sebaliknya lebih kepada cabaran
buatnya untuk meneruskan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun, bekas pengendali
Perak itu turut akur posisi penyerang antara masalah yang perlu segera
diatasinya terutama selepas melihat kekalahan 2-0 kepada FELDA United FC dalam
aksi persahabatan.
“Dalam tempoh sebulan ini saya
akan bina semula pasukan. Apabila tidak ada lagi Shahrel Fikri, saya nampak itu
antara kelemahan kami hadapi sekarang.
“Jadi kepada pemain lain,
rebutlah peluang ini,” katanya.
sumberArtikel ini disiarkan pada
: Selasa, 2 January 2018 @ 4:38 PM